Thursday, March 24, 2011

Sejenak Terkenang

Tetiba pagi ini, selesai memakir kenderaan, belum sempat mematikan enjin, seperti ditiup ke ingatan. wajah  bonda terbayang di mata, sebak seketika. Sebak itu membawa ke pejabat, sehingga setelah bersandar ke kerusi walau seketika, perasaan itu masih belum mampu hilang.

Suaranya mengejut pagi setiap kali selepas beliau solat sunat subuh,
Bunyi hentakan lesung menumbuk bawang lada,
Menyediakan menu tetap setiap hari,
Nasi goreng kosong,
Setiap pagi sebelum kami ke sekolah,

Menemaninya menebas di kebun 'dale pagar',
Menemaninya membawa pot getah (sekerap) dan getah salai,
untuk dijual di kedai Kak Yah (Miskim),
Menemaninya bercedung untuk menyulam anak padi jarang,
Meniti batas padi, memikul benih dan hasil padi,
Menemaninya membawa padi usang yang telah dijemur,
untuk dimesin menjadi beras di kilang Mok Yah,

Terbayang wajah sugul mengharungi hidup,
Menyiat sisa getah di tangan di atas tangga,
selepas sepagi bersama,
menoreh getah tua, yang hanya mengalir beberapa titik sahaja,
Ditemani Ejah dan Long, cucu merangkap anak angkat,

Sugul wajah tua semakin bertambah,
Selepas 'ditinggalkan' suami tersayang,
Mengharungi hidup sendirian,
Walaupun miliki anak sedozen,

Tidak sabar untuk berjumpa denganmu,
Tunggulah aku di sana,
kita akan kembali bersama...

Labels: